Home > Healthy Eating Section

Susu penting untuk kanak-kanak sedang membesar

Oleh WINNIE CHEE

PENGAMBILAN susu di kalangan kanak-kanak sekolah didapati semakin menurun. Di Malaysia, misalnya kebanyakan ibu membenarkan anak mereka berhenti minum susu sewaktu mereka masih di peringkat prasekolah lagi.


Antara sebabnya adalah kerana anak enggan minum susu dan menganggap ia adalah makanan untuk bayi. Pada masa sama, kanak-kanak mula menggemari minuman lain, terutama minuman ringan dan kordial. Tambahan pula, ramai kanak-kanak tidak merasai kepentingan minum susu sedangkan tiada sesiapa dalam keluarga yang berbuat demikian. 

Sebagai ibu bapa, kita harus mengetahui khasiat susu untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Kanak-kanak memerlukan dua gelas susu sebagai sebahagian daripada diet harian yang sihat. Ini memastikan mereka menerima pemakanan yang diperlukan untuk membesar dengan sihat dan ceria sepanjang zaman kanak-kanak. 

Susu adalah sejenis makanan yang amat kaya dengan nutrien. Ia adalah sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium. Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga.

Semua nutrien ini penting untuk satu atau lebih jenis fungsi. Bagaimanapun, kandungan kalsium yang terdapat dalam susu menjadikannya istimewa.

Kalsium diperlukan untuk pelbagai proses tubuh badan yang penting, umpamanya aliran saraf, pengawalan denyutan jantung, pengecutan otot dan penyembuhan luka. Apa yang juga perlu diketahui ialah apabila kalsium bergabung dengan protein, vitamin D, fosforus dan magnesium, ia akan membantu membentuk tulang dan gigi yang kuat.

Setiap orang memerlukan kalsium sepanjang hayat. Mengikut kajian, kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak kalsium per setiap unit berat badan jika dibandingkan dengan orang dewasa. Kekurangan kalsium pada peringkat umur ini akan menghalang kanak-kanak daripada mencapai ketumpatan tulang maksimum (atau dikenali sebagai "peak bone mass"). Ini boleh meningkatkan risiko terhadap osteoporosis (penyakit tulang rapuh) di kemudian hari. 

Pengambilan kalsium yang mencukupi menolong memastikan pembentukan tulang dan gigi yang kuat. Mineral ini boleh didapati daripada pelbagai sumber makanan termasuk ikan dengan tulang yang boleh dimakan (misalnya sardin dan ikan bilis), kekacang, produk kekacang (misalnya tauhu, fucok dan tempe) dan buah-buahan kering (misalnya kismis, kurma, aprikot dan prun). Sayuran berdaun hijau (misalnya bayam dan kailan) juga mengandungi kalsium.

Satu sumber kalsium yang kaya (dan mungkin paling senang diperoleh daripada diet) ialah susu dan produk tenusu. Kalsium susu adalah paling mudah diserap dan digunakan oleh tubuh badan. Dua gelas susu setiap hari boleh membekalkan jumlah kalsium yang diperlukan oleh anak yang sedang membesar.

Susu juga mudah dan senang untuk dihidangkan sehingga anak anda boleh minum susu pada bila-bila masa. 

Anda boleh tuangkan susu ke dalam semangkuk bijirin sarapan yang sedia untuk dimakan atau hidangkan segelas susu bersama dengan roti sandwic. Apa jua caranya ia adalah sarapan yang cepat lagi berkhasiat untuk anak anda sebelum pergi ke tadika. 

Apabila anak anda berasa lapar di antara waktu makan utama, berikannya sepaket susu. Anda juga boleh memberikannya beberapa keping biskut penuh mil dan ini adalah snek segera yang sihat.

Kadangkala, anak anda mungkin kurang berselera atau berkeras hanya mahu makan sejenis makanan saja. Sekali lagi, susu boleh dijadikan penyelamat! Walaupun ia tidak boleh menggantikan diet yang seimbang, kandungan nutrien dalam susu boleh membantu anak anda pada waktu sebegini.

Berikut adalah beberapa cara untuk menggalakkan anak anda minum susu setiap hari.

 

    • Dapatkan semua ahli keluarga minum susu. Anak anda juga tidak mahu ketinggalan apabila melihat semua orang berbuat demikian.

    • Benarkan anak anda memilih perisa susu yang digemari. Anak anda mungkin lebih gemar minum susu yang berperisa.

    • Hidangkan susu kotak secara sejuk dan susu tepung secara suam.

    • Ceritakan khasiat susu kepada anak. Dengan mengetahui kebaikannya, dia tentu gemar minum susu.

    • Gunakan daya kreatif untuk menghidangkan susu sebagai contoh, kisar dengan ais krim untuk menyediakan susu kocak. Kisar bersama buah-buahan atau jus buah-buahan untuk menghasilkan "milktail". Jika anda kisar bersama ais, anda akan memperoleh minuman susu kocak ais yang istimewa sekali.

  • Walaupun ramai khuatir mengenai pengambilan lemak berlebihan, kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah tidak seharusnya diberi susu rendah lemak, susu skim atau susu tanpa lemak, kecuali dinasihatkan oleh pakar pemakanan/diet dan pakar pediatrik. Kandungan lemak mengikut saranan susu hidangan untuk setiap hari adalah memadai dan ia boleh menolong membekalkan jumlah keperluan tenaga untuk tumbesaran yang normal.

    Susu mentah perlu menjalani proses pempasteuran untuk membasmi bakteria yang terkandung. Terdapat pelbagai kaedah rawatan yang biasa digunakan, termasuk UHT (ultra-high temperature), sterilisasi, dan ultra-pasteur. Ini bukan saja menjadikan susu selamat untuk diminum, tetapi juga memanjangkan hayatnya tanpa penambahan sebarang bahan pengawet.

    Proses-proses tersebut memberi sedikit kesan kepada kandungan nutrien susu. Dengan perkataan lain, khasiatnya dikekalkan. Kini, susu yang terdapat di pasaran ditambah dengan sesetengah nutrien, misalnya beta-karotin, vitamin E, vitamin C, kalsium, serat makanan atau asid lemak perlu, seperti Omega 3 dan 6. Ini bertujuan memperkayakan susu supaya dapat memberi lebih khasiat nutrien.

    Walaupun teknologi yang maju telah digunakan dalam pengeluaran susu, pastikan anda memeriksa tarikh luput yang tercetak pada paket susu. Jangan membeli susu yang tinnya kemek atau paket yang tembam. Susu sepatutnya diminum sebaik saja ia disediakan, dan tidak dibiarkan terdedah kepada habuk dan kerosakan. Simpan susu tepung di tempat yang kering dan sejuk.

    WINNIE Chee adalah Ahli Majlis Persatuan Pemakanan Malaysia dan Ahli Panel Penasihat Program Pemakanan Permulaan Ceria. Beliau adalah seorang pakar diet dan juga pensyarah dalam bidang pemakanan dan dietetik.

 











Copyright Nutrition Society of Malaysia 2012